Thursday 28 July 2016

APA ITU INDUSTRI PELANCONGAN



Pelancongan adalah merupakan gerakan sementara manusia ke destinasi lain di luar tempat tinggal dan tempat kerjanya yang biasa, kemudahan yang disediakan untuk memenuhi keperluan mereka dan kegiatan yang mereka lakukan selama tinggal di destinasi tersebut. Pelancongan dianggap sebagai salah satu aspek kemewahan kerana tidak semua orang mampu untuk melancong. Hanya segelintir orang yang mempunyai masa dan wang sahaja yang dapat melakukan aktiviti pelancongan ini  (Rahman H., 2013). Pelancongan merupakan sektor yang melibatkan peranan yang saling berkaitan antara pihak kerajaan, bukan kerajaan dan juga orang awam (Wahab S. & Cooper, 2009).

Berdasarkan World Tourism Organization mendefinisikan perkataan ‘pelancongan’ sebagai merangkumi semua perjalanan yang mengambil masa lebih dari 24 jam samada untuk tujuan rekreasi, berniaga, belajar, kesihatan dan sebagainya  Berdasarkan kajian yang dibuat oleh Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia, para pengunjung mengunjungi negara Malaysia kerana beberapa sebab seperti perniagaan, percutian, lawatan dan sebagainya (Ibrahim Y., 2001).

Pada masa ini, pelancongan menjadi satu bidang pelaburan yang dapat membawa kepada pertumbuhan industri-industri lain yang menjadi penambah dalam pembangunan Malaysia untuk menuju ke arah negara yang maju menjelang tahun 2020. Antara aspek yang perlu diberi penekanan dalam sistem pelancongan adalah pembekal barangan, kewujudan pelancong, kerajaan dan juga negara yang menjadi tuan rumah destinasi pelancongan. Terdapat dua bahagian utama dalam sistem pelancongan yang memainkan peranan penting dalam menentukan perkembangan dan kemajuannya iaitu bahagian pasaran dan pembekalan (Rahman H., 2013).

Pelancongan adalah satu agenda kerajaan kerana ia sangat berpotensi dalam bidang sosial, alam sekitar dan ekonomi. Kerajaan Malaysia telah memainkan peranan yang penting dalam memulakan undang-undang dan rangka kerja industri bagi membincangkan tentang peningkatan pelancongan inisiatif dalam rancangan pembangunan Malaysia. Kajian yang telah dibuat oleh Program Transformasi Ekonomi (ETP), Dasar Pelancongan Negara (NTP), Rancangan Fizikal Negara (RFN) dan Local Agenda 21 (LA 21) membuktikan bahawa ketibaan pelancong asing ke negara Malaysia telah meningkatkan pendapatan per kapita tahun demi tahun (Bhuiyan A.H., Siwar C. & Mohamad I.S., 2013).

Motivasi yang berbeza bagi setiap pelancong biasanya akan menentukan tujuan mereka melancong seperti melancong untuk menambah minat dalam kehidupan, memenuhi keperlan untuk berehat dan juga untuk mengenali budaya orang lain. Selain itu, pelancong biasanya melancong ke sesuatu detinasi adalah untuk memenuhi beberapa aktiviti dalam tujuan perniagaan, lawatan dan juga berhibur. Tujuan mereka melancong ini seterusnya mewujudkan kategori dan jenis pelancong dalam industri pelancongan (Rahman H., 2013).

Pembangunan dalam industri pelancongan merupakan salah satu elemen utama bagi stiap rancangan pembangunan di Malaysia. Kerajaan telah memberikan perhatian khas untuk menekankan kepada sektor pelancongan dalam tempoh setiap pelan yang telah dirangka. Kerajaan menerima pakai dan merumuskan pelbagai undang-undang dan peraturan bagi memastikan pembangunan pelancongan adalah dalam keadaan yang baik serta melaksanakan dasar yang perlu. Akhirnya, Malaysia menyasarkan untuk menguasai suatu tempat di dalam 10 negara teratas di dunia dari segi kemasukan pelancong asing (Bhuiyan A.H., Siwar C. & Mohamad I.S., 2013).

Berdasarkan kepada pengalaman dari negara lain, pelancongan dapat dibuktikan sebagai penyumbang yang berpotensi kepada sektor ekonomi. Hal ini adalah kerana ia merangsang pelaburan dari negara asing untuk memenuhi permintaan domestik dan juga untuk mengembangkan infrastruktur pelancongan (Lean H.H., Chong S.H. & Hooy C., 2014).

Industri pelancongan dapat membuka peluang pekerjaan samada pekerjaan secara lansung, tidak lansung dan juga penempatan disebabkan pengambilan para pekerja dalam bidang ini. Industri ini juga terus menjadi sumber utama tukaran asing, yang menyumbang kepada pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK), pelaburan dan guna tenaga serta mengukuhkan akaun perkhidmatan dalam imbangan pembayaran (Johan M., 2015).

1 comment: