Thursday 28 July 2016

TAHAP PEMBANGUNAN INDUSTRI PELANCONGAN



Industri pelancongan kurang diberi perhatian oleh pihak kerajaan pada zaman pasca kemerdekaan. Hal ini adalah kerana pihak kerajaan lebih memberi tumpuan kepada pembangunan infrastruktur dan juga kestabilan negara. Hal ini ditambah lagi dengan penumpuan terhadap sektor hasil bumi seperti bijih timah dan getah yang dijadikan hasil utama terhadap negara ini. Walaubagaimanapun, perkembangan yang positif dalm sektor ini mula dapat dilihatpada era tahun 70an dengan penubuhan Perbadanan Pelancongan Malaysia (TDC) pada Ogos 1972, Dasar Ekonomi Baru (DEB) dan Persidangan Kesatuan Pelancongan Kawasan Pasifik (PATA) di Kuala Lumpur.

Pada awal tahun 80an, sektor pelancongan adalah semakin berkembang pada ketika negara ini sudah aman dari ancaman komunis dan ancaman luar. Ini ditambah pula dengan penubuhan Kementerian Kebudayaan dan Pelancongan pada tahun 1987. Kementerian tersebut seterusnya dinaiktarafkan kepada Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan Malaysia pada tahun 1990. Dengan penubuhan kementerian ini, ia dapat merancakkan lagi pembangunan dalam industri pelancongan (Marzuki A., 2010).

Melalui kejayaan Tahun Melawat Malaysia pada tahun 1990, ia membawa kepada peningkatan sumbangan terhadap Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) walaupun selepas kegawatan ekonomi pada tahun 1997 dan 1998 dengan cara menggalakkan aliran masuk wang ke dalam negara dan mengurangkan aliran keluaran matawang negara seterusnya memulihkan krisis ekonomi negara. Pelbagai inisiatif telah diambil kerajaan untuk mempertingkatkan kemudahan-kemudahan asas yang berkaitan dengan industri pelancongan (Pelanconganblog, 2016).

Pembangunan industri pelancongan di negara ini pada masa kini telah mencapai pada tahap yang boleh dibanggakan. Peningkatan dalam industri ini adalah dibantu oleh kemudahan yang telah disediakan oleh kerajaan. Pembangunan dalam industri pelancongan ini mendatangkan lima faedah utama iaitu sumbangan kepada imbangan pembayaran negara, pembangunan kawasan bukan perindustrian, kewujudan peluang pekerjaan, pembangunan sosial seterusnya meningkatkan pendapatan kepada keseluruhan ekonomi menerusi impak berganda.

Walau bagaimanapun, pelbagai tragedi yang berlaku terhadap Malaysia pada tahun 2014 sedikit sebanyak memberi kesan buruk kepada industri pelancongan negara. Rentetan daripada tragedi tersebut, negara telah menyaksikan penurunan jumlah kedatangan pelancong dari negara China disebabkan oleh kepercayan mereka yang terjejas terhadap keselamatan negara ini. Penurunan ini dapat dibuktikan dengan pasaran China yang menurun sebanyak 11.8% bagi tempoh awal kejadian iaitu Januari hingga Julai tahun 2014 berbanding tempoh sama pada tahun 2013. Sehingga akhir tahun 2014, kemerosotan ini masih juga berlaku dengan penurunan sebanyak 9.9 peratus. Hal ini adalah sangat membimbangkan kerana pelancong dari negara China adalah merupakan antara yang teratas jumlah pelancongnya di Malaysia.

Walaupun industri ini berdepan dengan pelbagai cabaran yang dilihat telah menggugat jumlah kedatangan pelancong dan penjanaan hasilnya sepanjang tahun 2014, keyakinan pelancong asing selain dari negara China untuk memilih Malaysia sebagai destinasi pelancongan masih dapat ditingkatkan dengan kewujudan Kementerian Pelancongan terutamanya melalui Tourism Malaysia (Pelanconganblog, 2016).


No comments:

Post a Comment