Thursday, 28 July 2016

HALANGAN/CABARAN INDUSTRI PELANCONGAN



Dalam industri pelancongan, disamping mendatangkan keuntungan kepada negara, ia mempunyai cabaran dan halangan dalam menjayakannya. Cabaran yang pertama adalah apabila terjadinya tragedi-tragedi yang boleh menghilangkan kepercayaan para pelancong terhadap keselamatan negara. Dalam aspek jumlah kedatangan pelancong ke Malaysia, pelancong dari China adalah meduduki antara tangga teratas. Namun, jumlah tersebut berkurangan apabila terjadinya beberapa tragedi besar yang meragut nyawa. Contohnya seperti tragedi yang berlaku terhadap pesawat MH370. Pesawat MH370 yang hilang ketika membuat penerbangan dari Kuala Lumpur menuju ke Beijing, China pada 8 Mac 2014 masih menjadi misteri sehingga kini. Industri ini mengalami kerugian apabila pelancong China sebanyak 30 peratus membatalkan percutian mereka ke negara dan ia melibatkan kos RM100 juta (Sinar Online, 17 April 2014). Ditambah pula dengan pencerobohan yang berlaku di Lahad Datu dan tragedi pesawat MH17 yang ditembak jatuh, cabaran ini menjadi semakin hebat. Industri ini mengalami kesukaran dalam mengembalikan rasa percaya dan keyakinan dalam diri pelancong asing bahawa Malaysia adalah negara yang selamat untuk dikunjungi.

Cabaran yang kedua adalah isu moral pelancong asing ketika berada di Malaysia. Terdapat banyak isu yang melibatkan kelakuan tidak senonoh pelancong asing. Ini mendatangkan rasa tidak senang rakyat negara ini dan juga pelancong pelancong yang lain yang berpegang pada nilai-nilai ketimuran dan menjaga adab sopan. Contohnya seperti tindakan 10 pelancong asing yang berbogel di puncak Gunung Kinabalu pada hujung Mei 2015. Juga seperti tindakan pelancong asing yang berjemur di pantai separuh bogel dan tanpa pakaian. Kes-kes ini sukar ditangani sekiranya mereka tidak faham budaya negara Malaysia yang kaya dengan adab sopan dan mereka seperti segaja tidak mahu menghormati peraturan-peraturan pelancongan yang telah ditetapkan. Ini semua bergantung pada penguatkuasaan, pemantauan dan terutamanya terhadap sikap pelancong itu sendiri demi mengelakkan berlakunya perbuatan-perbuatan sumbang pada pandangan rakyat tempatan (Majed M.J., 2015).

 Cabaran yang ketiga adalah persaingan dengan negara luar. Cabaran ini berlaku apabila wujudnya persaingan dalam industri pelancongan ngan negara-negara yang mempunyai kesedaran terhadp pentingnya sesebuah industri pelancongan untuk sesebuah negara. Malaysia perlulah lebih kreatif dalam mempromosikan keistimewaan negara supaya Malaysia menjadi negara pilihan untuk dilawati oleh pelancong asing. Malaysia juga mengekalkan kestabilan politiknya kerana ia memberi impak yang besar kepada negara termasuklah industri pelancongan. Ketidakstabilan politik boleh memberi impak negatif terhadap pembangunan prasarana untuk pelancong dan mengganggu kelancaran pembangunan yang telah dirancang. Seterusnya, ia membawa kepada penjejasan imej negara dan menyebabkan pelancong asing memandang rendah terhadap negara kita dan sudah tentulah negara kita tidak menjadi pilihan untuk dilawati jika hal ini terjadi (Pelanconganblog, 2016).

Cabaran yang keempat ialah kebersihan alam sekitar. Kebanyakan pelancong yang melancong ke negara ini adalah untuk menikmati pemandangan dan alam semulajadinya yang menarik dan ia berkait rapat dengan alam sekitar. Pencemaran yang berlaku terhadap alam sekitar akan mencacatkan keindahan tempat dan pemandangan yang ada dan akan memberi persepsi yang negatif terhadap imej negara. Menurut Ketua Eksekutif Persatuan Pelancongan Asia Pasifik (PATA), Joseph A. McInerney, keindahan alam wajib dikekalkan kerana tanpanya, sukar untuk industri pelancongan bergerak maju. Hal ini dapat dilihat apabila negara yang sangat terkenal dengan alam semulajadi yang menakjubkan juga mengalami masalah dalam industri pelancongan apabila negara tersebut mengalami bencana jerebu. Sebagai contoh, jerebu yang menyelubungi Malaysia pada penghujung tahun 2015 dikatakan datang dari kebakaran hutan di Indonesia menyebabkan ramai pelancong takut untuk melawat ke negara ini (Utusan Online, 10 Januari 1998).

Cabaran yang kelima adalah kebudayaan tempatan yang semakin dilupai oleh orang ramai. Dapat dilihat pada zaman generai Y dan Z ini, budaya dan nilai-nilai murni yang menjadi amalan nenek moyang kita semakin dilupakan kerana masyarakat sekarang lebih meminati dan mengikuti budaya barat. Dalam sektor pelancongan, kebudayaan merupakan faktor yang penting kerana pelancong ingin merasai dan mengetahui kebudayaan tradisi setiap negara yang tidak ada di negara lain. Contohnya seperti seni silat. Masyarakat sekarang lebih ramai memilih untuk belajar Taekwondo yang asalnya dari negara luar berbandiang belajar silat yang sememangnya budaya orang Melayu. Selain daripada itu, tarian tradisional, pakaian tradisional dan banyak lagi yang semakin dilupakan oleh anak muda. Jika tidak diwarisi oleh anak-anak muda ketika ini keunikan sesebuah negara akan hilang yang membawa kepada kurangnya pelancong yang akan datang ke negara tersebut (Pelanconganblog, 2016).

No comments:

Post a Comment