Potensi industri pelancongan untuk menjadi penjana
ekonomi negara hanya dapat direalisasikan jika segala usaha untuk membangun dan
memajukan industri pelancongan diberi penekanan yang sepatutnya. Isu-isu yang
melibatkan pelancongan mempunyai pro kontra dalam sumbangannya terhadap jumlah
kedatangan pelancong ke negara Malaysia. Kejayaan yang diterima industri
pelancongan bukanlah semata-mata disebabkan oleh kempen dan promosi galakan di
dalam dan luar negara. Kejayaan ini juga adalah disebabkan daripada pengalaman
pelancong itu sendiri ketika melawat Malaysia. Pelancong-pelancong yang
mempunyai pengalaman yang baik ketika melancong ke Malaysia akan turut
mempromosikan negara Malaysia sebagai negara yang patut dilawati kepada orang
lain (Yahya R., 2009).
Persatuan Pengembaraan Asia Pasifik (PATA) adalah
salah satu pertubuhan yang ditubuhkan untuk menyokong aktiviti pelancongan ini.
PATA mempunyai pengaruh yang besar dalam industri pelancongan telah mengadakan
persidangan tahunannya di Malaysia (Minda bahasa, 30 Jun 2008). Pata memainkan
peranan yang penting dalam memulihkan kepercayaan masyarakat dunia terhadap
keindahan negara Malaysia melalui pelbagai promosi yang dibuat di seluruh
dunia. Pada tahun 1992, PATA telah menggariskan Kod Tanggungjawab Sektor
Pelancongan Terhadap Alam Sekitar (KTSPTAS) sebagai panduan perancangan dan
pelaksanaan kegiatan pelancongan yang lebih mesra alam di seluruh dunia (Utusan
Online, 10 Januari 1998).
Sistem ‘tagal’ juga merupakan salah satu sistem
yang digunakan dalam menyokong industri pelancongan di Malaysia. Sistem tagal
adalah satu kaedah pengurusan biosfera yang popular di Sabah. Ia juga dikenali
sebagai bombon yang bermaksud jangan dalam bahasa Kadazandusun. Ia merupakan
satu kaedah tradisional yang telah diubahsuai menjadi satu sistem pengurusan
yang lebih tersusun di bawah pemantauan Jabatan Perikanan negeri Sabah
Berdasarkan sistem ini, penggunaan sumber semulajadi dihadkan dengan
mengaplikasikan zon rizab dan juga limitasi penuaian sumber sungai khususnya.
Amalan pengurusan ini juga telah diperluaskan kepada lebih ramai komuniti pada
masa kini dan sekaligus telah menjadi satu sistem pengurusan yang bukan sahaja
untuk pemuliharaan alam sekitar tetapi sebagai sebuah ‘produk’ yang menyumbang
kepada ekonomi dan sosial komuniti pelaksana. Sistem ini diguna pakai oleh
komuniti yang sedar tentang kebaikannya sebagai sebuah produk pelancongan yang
telah menyumbang kepada pengurusan persekitaran yang lebih cekap, penyumbang
pembangunan ekonomi dan juga pembangunan sosial komuniti.. Ini merupakan salah
satu pendekatan dalam utilitarian sumber semulajadi tempatan (Foo J., 2011).
Selain itu, Akta Perbadanan Kemajuan Pelancongan
Malaysia 1972 telah diluluskan oleh Parlimen dengan persetujuan Diraja. Dengan
kelulusan ini, Perbadanan menjadi sebuah badan berkanun. Menteri Perdagangan
dan Perindustrian akan melantik Ahli-ahli Lembaga Pengarah yang beranggungjawab
untuk menjalankan Perbadanan dan pentadbiran am. Garis-garis panduan yang
ditetapkan oleh Perbadanan adalah seperti memperkenalkan Malaysia dalam pasaran
antarabangsa dan serantau, menambahkan bilangan perjalanan antara negeri oleh
rakyat Malaysia sendiri bagi menggiatkan lagi perkembangan pelancongan dalam negeri,
terlibat dalam proses pembangunan fizikal industri pelancongan dan menjalani
tugas-tugas yang berkaitan dengan pelancongan antarabangsa dan serantau.
Disamping itu, dalam Rancangan Malaysia ke-6
(RMK-6: 1991-1995), kerajaan berkolaborasi dengan pihak-pihak swasta untuk
membangunkan produk-produk baru. Pada tahun 1994, kerajaan telah melancarkan
Tahun melawat Malaysia 1994 dengan menawarkan 170 program dan acara yang
merangkumi kebudayaan, kesenian, kraftangan, perayaan kebangsaanpameran, sukan
dan konvensyen. Pelbagai aktiviti menarik telah disediakan. Pameran Maritim dan
Udara (LIMA) dan Kejohanan Lumba Basikal Le Tour de Langkawi adalah contoh
aktiviti tersebut. Aktiviti-aktiviti seperti ini perlu mempunyai perancangan
yang teliti supaya dapat dijalankan sepanjang masa denga promosi yang lengkap
dan meluas. Ia dapat menarik kedatangan pelancong dari seantero dunia dan
membuktikan bahawa Malaysia cemerlang dalam bidang pelancongannya.
No comments:
Post a Comment