Thursday, 28 July 2016

HALANGAN/CABARAN INDUSTRI PELANCONGAN



Dalam industri pelancongan, disamping mendatangkan keuntungan kepada negara, ia mempunyai cabaran dan halangan dalam menjayakannya. Cabaran yang pertama adalah apabila terjadinya tragedi-tragedi yang boleh menghilangkan kepercayaan para pelancong terhadap keselamatan negara. Dalam aspek jumlah kedatangan pelancong ke Malaysia, pelancong dari China adalah meduduki antara tangga teratas. Namun, jumlah tersebut berkurangan apabila terjadinya beberapa tragedi besar yang meragut nyawa. Contohnya seperti tragedi yang berlaku terhadap pesawat MH370. Pesawat MH370 yang hilang ketika membuat penerbangan dari Kuala Lumpur menuju ke Beijing, China pada 8 Mac 2014 masih menjadi misteri sehingga kini. Industri ini mengalami kerugian apabila pelancong China sebanyak 30 peratus membatalkan percutian mereka ke negara dan ia melibatkan kos RM100 juta (Sinar Online, 17 April 2014). Ditambah pula dengan pencerobohan yang berlaku di Lahad Datu dan tragedi pesawat MH17 yang ditembak jatuh, cabaran ini menjadi semakin hebat. Industri ini mengalami kesukaran dalam mengembalikan rasa percaya dan keyakinan dalam diri pelancong asing bahawa Malaysia adalah negara yang selamat untuk dikunjungi.

Cabaran yang kedua adalah isu moral pelancong asing ketika berada di Malaysia. Terdapat banyak isu yang melibatkan kelakuan tidak senonoh pelancong asing. Ini mendatangkan rasa tidak senang rakyat negara ini dan juga pelancong pelancong yang lain yang berpegang pada nilai-nilai ketimuran dan menjaga adab sopan. Contohnya seperti tindakan 10 pelancong asing yang berbogel di puncak Gunung Kinabalu pada hujung Mei 2015. Juga seperti tindakan pelancong asing yang berjemur di pantai separuh bogel dan tanpa pakaian. Kes-kes ini sukar ditangani sekiranya mereka tidak faham budaya negara Malaysia yang kaya dengan adab sopan dan mereka seperti segaja tidak mahu menghormati peraturan-peraturan pelancongan yang telah ditetapkan. Ini semua bergantung pada penguatkuasaan, pemantauan dan terutamanya terhadap sikap pelancong itu sendiri demi mengelakkan berlakunya perbuatan-perbuatan sumbang pada pandangan rakyat tempatan (Majed M.J., 2015).

 Cabaran yang ketiga adalah persaingan dengan negara luar. Cabaran ini berlaku apabila wujudnya persaingan dalam industri pelancongan ngan negara-negara yang mempunyai kesedaran terhadp pentingnya sesebuah industri pelancongan untuk sesebuah negara. Malaysia perlulah lebih kreatif dalam mempromosikan keistimewaan negara supaya Malaysia menjadi negara pilihan untuk dilawati oleh pelancong asing. Malaysia juga mengekalkan kestabilan politiknya kerana ia memberi impak yang besar kepada negara termasuklah industri pelancongan. Ketidakstabilan politik boleh memberi impak negatif terhadap pembangunan prasarana untuk pelancong dan mengganggu kelancaran pembangunan yang telah dirancang. Seterusnya, ia membawa kepada penjejasan imej negara dan menyebabkan pelancong asing memandang rendah terhadap negara kita dan sudah tentulah negara kita tidak menjadi pilihan untuk dilawati jika hal ini terjadi (Pelanconganblog, 2016).

Cabaran yang keempat ialah kebersihan alam sekitar. Kebanyakan pelancong yang melancong ke negara ini adalah untuk menikmati pemandangan dan alam semulajadinya yang menarik dan ia berkait rapat dengan alam sekitar. Pencemaran yang berlaku terhadap alam sekitar akan mencacatkan keindahan tempat dan pemandangan yang ada dan akan memberi persepsi yang negatif terhadap imej negara. Menurut Ketua Eksekutif Persatuan Pelancongan Asia Pasifik (PATA), Joseph A. McInerney, keindahan alam wajib dikekalkan kerana tanpanya, sukar untuk industri pelancongan bergerak maju. Hal ini dapat dilihat apabila negara yang sangat terkenal dengan alam semulajadi yang menakjubkan juga mengalami masalah dalam industri pelancongan apabila negara tersebut mengalami bencana jerebu. Sebagai contoh, jerebu yang menyelubungi Malaysia pada penghujung tahun 2015 dikatakan datang dari kebakaran hutan di Indonesia menyebabkan ramai pelancong takut untuk melawat ke negara ini (Utusan Online, 10 Januari 1998).

Cabaran yang kelima adalah kebudayaan tempatan yang semakin dilupai oleh orang ramai. Dapat dilihat pada zaman generai Y dan Z ini, budaya dan nilai-nilai murni yang menjadi amalan nenek moyang kita semakin dilupakan kerana masyarakat sekarang lebih meminati dan mengikuti budaya barat. Dalam sektor pelancongan, kebudayaan merupakan faktor yang penting kerana pelancong ingin merasai dan mengetahui kebudayaan tradisi setiap negara yang tidak ada di negara lain. Contohnya seperti seni silat. Masyarakat sekarang lebih ramai memilih untuk belajar Taekwondo yang asalnya dari negara luar berbandiang belajar silat yang sememangnya budaya orang Melayu. Selain daripada itu, tarian tradisional, pakaian tradisional dan banyak lagi yang semakin dilupakan oleh anak muda. Jika tidak diwarisi oleh anak-anak muda ketika ini keunikan sesebuah negara akan hilang yang membawa kepada kurangnya pelancong yang akan datang ke negara tersebut (Pelanconganblog, 2016).

KEPENTINGAN DAN SUMBANGAN INDUSTRI PELANCONGAN TERHADAP PEMBANGUNAN EKONOMI NEGARA



Apabila Tahun Melawat Malaysia diisytiharkan oleh kerajaan pada tahun 1990, ia menunjukkan usaha kerajaan dalam memberikan perhatian terhadap industri pelancongan kerana ia berpotensi untuk memajukan negara. Bilangan pelancong yang datang ke Malaysia semakin meningkat saban tahun. Oleh itu, usaha mempromosikan Malaysia terhadap pelancong asing mendatangkan banyak kebaikan kerana industri pelancongan ini mempunyai kepentingan dan sumbangannya yang tersendiri terhadap pembangunan ekonomi negara.

Kepentingan dan sumbangan industri pelancongan yang pertama ialah menyumbang kepada pendapatan negara. Pada tahun 2015, menteri di Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan telah menjelaskan bahawa kerajaan telah menyasarkan kehadiran seramai 29 juta pelancong yang membawa kepada pendapatan mencecah RM89 billion terhadap negara. Hal ini adalah disebabkan pelancongan menjadi penggerak utama tukaran wang asing. Jadi, dapatlah sesebuah negara memperoleh kadar pulangan tukaran wang asing dengan banyak. Setiap pelancong yang datang semestinya akan berbelanja untuk kemudahan asas mereka katika melancong seperti pengangkutan dan makanan. Justeru itu, wang hasil daripada perbelanjaan tersebut akan menambahkan pendapatan negara dan dapat digunakan untuk pembangunan ekonomi dan kemudahan-kemudahan pelancongan di negara ini (Yat, 2015).

Kepentingan dan sumbangan industri pelancongan yang kedua ialah membuka peluang pekerjaan yang lebih luas. Dalam memastikan pergerakan pelancongan berjalan lancar, industri pelancongan akan memerlukan tenaga kerja dalam bidang yang berkaitan. Contohnya asalah seperti pekerja hotel, pemandu pelancong, peniaga makanan dan minuman, peniaga dan pembuat barangan kraf tangan dan sebagainya. Kesemua ini saling berkait rapat dan saling memerlukan dalam industri pelancongan ini. Oleh itu, tenaga kerja yang diperlukan adalah dalam kuantiti yang besar dan ia dapat ditawarkan kepada rakyat demi mengurangkan kadar penganguran di negara ini. Seterusnya, taraf hidup rakyat juga dapat ditingkatkan.

Kepentingan dan sumbangan industri pelancongan yang ketiga ialah dapat menarik pelabur asing. Kegiatan pelancongan yang aktif akan memudahkan kerajaan dalam menarik minat pelabur asing untuk melabur di negara ini. Disamping menarik pelabur untuk melabur dalam bidang pelancongan, industri ini juga dapat menarik pelabur untuk melabur dalam bidang-bidang lain seperti pengangkutan, pembuatan makanan, pembinaan dan sebagainya kerana ianya saling berkait rapat. Melalui pelaburan tersebut, ia dapat dimanipulasi oleh pihak kerajaan untuk mengelakkan pembaziran yang negara demi mengindahkan kawasan yang menjadi tempat pelancongan yang semestinya akan menelan kos yang sangat tinggi. Oleh itu, wang yang diperuntukkan oleh pihak kerajaan untuk bidang pelancongan ini dapatlah digunakan untuk membantu kehidupan masyarakat kita seperti membina rumah kos rendah supaya ia dapat digunakan oleh rakyat yang tidak mempunyai rumah persendirian. Ia seterusnya dapat meningkatkan taraf hidup masyarakat di negara kita.

Kepentingan dan sumbangan industri pelancongan yang keempat ialah memajukan industri kraftangan di Malaysia. Kehadiran pelancong akan membuka rezeki pengusaha barangan kraftangan samada yang tinggal di bandar mahupun di desa. Barangan kraftangan seperti kain batik, seramik, kayu, songket, kaca dan wau adalah salah satu benda yang akan di cari oleh para pelancong ketika mereka melancong ke negara kita. Barangan kraftangan yang memaparkan keunikan negara kita akan menjadi pilihan dan mereka sanggup mengeluarkan sejumlah wang untuk mendapatkan barangan ini yang boleh dibuat sebagai kenang-kenangan. Hal ini dapat memberi jaminan terhdap keutuhan perniagaan dalam bidang ini seterusnya dapat meningkatkan taraf hidup mereka yang terlibat dalam bidang ini (Raghazli R., 2010).

Kepentingan dan sumbangan industri pelancongan yang kelima ialah mengembangkan industri pembuatan makanan. Di Malaysia, terdapat pelbagai jenis makanan yang unik dan menjadi kegemaran para pelancong. Memandangkan negara kita mempunyai pelbagai kaum, jadi kita dapat merasai masakan yang berbeza seperti masakan Melayu seperti nasi impit dan ketupat, masakan Cina seperti kuih bulan dan kuih bakul dan juga makanan India seperti muruku dan tosai. Kelazatan makananmakanan tradisi yang diperkenalkan ini dapat menarik selera pelancong untuk mencubanya ketika melancong ke negara kita. Hal ini kerana jika dibandingkan dengan negara luar, mereka tidak mempunyai kepelbagaian jenis makanan seperti yang terdapat di Malaysia. Oleh itu, permintaan dalam bidang pmbuatan makanan ini sangat memberangsangkan disebabkan oleh aktiviti pelancongan ini (Tan, 2014).

TAHAP PEMBANGUNAN INDUSTRI PELANCONGAN



Industri pelancongan kurang diberi perhatian oleh pihak kerajaan pada zaman pasca kemerdekaan. Hal ini adalah kerana pihak kerajaan lebih memberi tumpuan kepada pembangunan infrastruktur dan juga kestabilan negara. Hal ini ditambah lagi dengan penumpuan terhadap sektor hasil bumi seperti bijih timah dan getah yang dijadikan hasil utama terhadap negara ini. Walaubagaimanapun, perkembangan yang positif dalm sektor ini mula dapat dilihatpada era tahun 70an dengan penubuhan Perbadanan Pelancongan Malaysia (TDC) pada Ogos 1972, Dasar Ekonomi Baru (DEB) dan Persidangan Kesatuan Pelancongan Kawasan Pasifik (PATA) di Kuala Lumpur.

Pada awal tahun 80an, sektor pelancongan adalah semakin berkembang pada ketika negara ini sudah aman dari ancaman komunis dan ancaman luar. Ini ditambah pula dengan penubuhan Kementerian Kebudayaan dan Pelancongan pada tahun 1987. Kementerian tersebut seterusnya dinaiktarafkan kepada Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan Malaysia pada tahun 1990. Dengan penubuhan kementerian ini, ia dapat merancakkan lagi pembangunan dalam industri pelancongan (Marzuki A., 2010).

Melalui kejayaan Tahun Melawat Malaysia pada tahun 1990, ia membawa kepada peningkatan sumbangan terhadap Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) walaupun selepas kegawatan ekonomi pada tahun 1997 dan 1998 dengan cara menggalakkan aliran masuk wang ke dalam negara dan mengurangkan aliran keluaran matawang negara seterusnya memulihkan krisis ekonomi negara. Pelbagai inisiatif telah diambil kerajaan untuk mempertingkatkan kemudahan-kemudahan asas yang berkaitan dengan industri pelancongan (Pelanconganblog, 2016).

Pembangunan industri pelancongan di negara ini pada masa kini telah mencapai pada tahap yang boleh dibanggakan. Peningkatan dalam industri ini adalah dibantu oleh kemudahan yang telah disediakan oleh kerajaan. Pembangunan dalam industri pelancongan ini mendatangkan lima faedah utama iaitu sumbangan kepada imbangan pembayaran negara, pembangunan kawasan bukan perindustrian, kewujudan peluang pekerjaan, pembangunan sosial seterusnya meningkatkan pendapatan kepada keseluruhan ekonomi menerusi impak berganda.

Walau bagaimanapun, pelbagai tragedi yang berlaku terhadap Malaysia pada tahun 2014 sedikit sebanyak memberi kesan buruk kepada industri pelancongan negara. Rentetan daripada tragedi tersebut, negara telah menyaksikan penurunan jumlah kedatangan pelancong dari negara China disebabkan oleh kepercayan mereka yang terjejas terhadap keselamatan negara ini. Penurunan ini dapat dibuktikan dengan pasaran China yang menurun sebanyak 11.8% bagi tempoh awal kejadian iaitu Januari hingga Julai tahun 2014 berbanding tempoh sama pada tahun 2013. Sehingga akhir tahun 2014, kemerosotan ini masih juga berlaku dengan penurunan sebanyak 9.9 peratus. Hal ini adalah sangat membimbangkan kerana pelancong dari negara China adalah merupakan antara yang teratas jumlah pelancongnya di Malaysia.

Walaupun industri ini berdepan dengan pelbagai cabaran yang dilihat telah menggugat jumlah kedatangan pelancong dan penjanaan hasilnya sepanjang tahun 2014, keyakinan pelancong asing selain dari negara China untuk memilih Malaysia sebagai destinasi pelancongan masih dapat ditingkatkan dengan kewujudan Kementerian Pelancongan terutamanya melalui Tourism Malaysia (Pelanconganblog, 2016).


APA ITU INDUSTRI PELANCONGAN



Pelancongan adalah merupakan gerakan sementara manusia ke destinasi lain di luar tempat tinggal dan tempat kerjanya yang biasa, kemudahan yang disediakan untuk memenuhi keperluan mereka dan kegiatan yang mereka lakukan selama tinggal di destinasi tersebut. Pelancongan dianggap sebagai salah satu aspek kemewahan kerana tidak semua orang mampu untuk melancong. Hanya segelintir orang yang mempunyai masa dan wang sahaja yang dapat melakukan aktiviti pelancongan ini  (Rahman H., 2013). Pelancongan merupakan sektor yang melibatkan peranan yang saling berkaitan antara pihak kerajaan, bukan kerajaan dan juga orang awam (Wahab S. & Cooper, 2009).

Berdasarkan World Tourism Organization mendefinisikan perkataan ‘pelancongan’ sebagai merangkumi semua perjalanan yang mengambil masa lebih dari 24 jam samada untuk tujuan rekreasi, berniaga, belajar, kesihatan dan sebagainya  Berdasarkan kajian yang dibuat oleh Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia, para pengunjung mengunjungi negara Malaysia kerana beberapa sebab seperti perniagaan, percutian, lawatan dan sebagainya (Ibrahim Y., 2001).

Pada masa ini, pelancongan menjadi satu bidang pelaburan yang dapat membawa kepada pertumbuhan industri-industri lain yang menjadi penambah dalam pembangunan Malaysia untuk menuju ke arah negara yang maju menjelang tahun 2020. Antara aspek yang perlu diberi penekanan dalam sistem pelancongan adalah pembekal barangan, kewujudan pelancong, kerajaan dan juga negara yang menjadi tuan rumah destinasi pelancongan. Terdapat dua bahagian utama dalam sistem pelancongan yang memainkan peranan penting dalam menentukan perkembangan dan kemajuannya iaitu bahagian pasaran dan pembekalan (Rahman H., 2013).

Pelancongan adalah satu agenda kerajaan kerana ia sangat berpotensi dalam bidang sosial, alam sekitar dan ekonomi. Kerajaan Malaysia telah memainkan peranan yang penting dalam memulakan undang-undang dan rangka kerja industri bagi membincangkan tentang peningkatan pelancongan inisiatif dalam rancangan pembangunan Malaysia. Kajian yang telah dibuat oleh Program Transformasi Ekonomi (ETP), Dasar Pelancongan Negara (NTP), Rancangan Fizikal Negara (RFN) dan Local Agenda 21 (LA 21) membuktikan bahawa ketibaan pelancong asing ke negara Malaysia telah meningkatkan pendapatan per kapita tahun demi tahun (Bhuiyan A.H., Siwar C. & Mohamad I.S., 2013).

Motivasi yang berbeza bagi setiap pelancong biasanya akan menentukan tujuan mereka melancong seperti melancong untuk menambah minat dalam kehidupan, memenuhi keperlan untuk berehat dan juga untuk mengenali budaya orang lain. Selain itu, pelancong biasanya melancong ke sesuatu detinasi adalah untuk memenuhi beberapa aktiviti dalam tujuan perniagaan, lawatan dan juga berhibur. Tujuan mereka melancong ini seterusnya mewujudkan kategori dan jenis pelancong dalam industri pelancongan (Rahman H., 2013).

Pembangunan dalam industri pelancongan merupakan salah satu elemen utama bagi stiap rancangan pembangunan di Malaysia. Kerajaan telah memberikan perhatian khas untuk menekankan kepada sektor pelancongan dalam tempoh setiap pelan yang telah dirangka. Kerajaan menerima pakai dan merumuskan pelbagai undang-undang dan peraturan bagi memastikan pembangunan pelancongan adalah dalam keadaan yang baik serta melaksanakan dasar yang perlu. Akhirnya, Malaysia menyasarkan untuk menguasai suatu tempat di dalam 10 negara teratas di dunia dari segi kemasukan pelancong asing (Bhuiyan A.H., Siwar C. & Mohamad I.S., 2013).

Berdasarkan kepada pengalaman dari negara lain, pelancongan dapat dibuktikan sebagai penyumbang yang berpotensi kepada sektor ekonomi. Hal ini adalah kerana ia merangsang pelaburan dari negara asing untuk memenuhi permintaan domestik dan juga untuk mengembangkan infrastruktur pelancongan (Lean H.H., Chong S.H. & Hooy C., 2014).

Industri pelancongan dapat membuka peluang pekerjaan samada pekerjaan secara lansung, tidak lansung dan juga penempatan disebabkan pengambilan para pekerja dalam bidang ini. Industri ini juga terus menjadi sumber utama tukaran asing, yang menyumbang kepada pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK), pelaburan dan guna tenaga serta mengukuhkan akaun perkhidmatan dalam imbangan pembayaran (Johan M., 2015).

PENGENALAN



Industri pelancongan adalah satu sektor penyumbang kepada ekonomi di negara Malaysia. Malahan, ia menjadi penyumbang utama yang dapat meningkatkan taraf ekonomi di negara ini. Hal ini adalah disebabkan oleh peningkatan subsektor yang terdapat di bawah sektor pelancongan seperti sektor perdagangan borong dan runcit serta komunikasi yang sangat memberangsangkan. Ia adalah kesan daripada kedatangan pelancong dari negara yang berpendapatan tinggi pada tahun 2011(Mokhtar N.A, Tin P.B. & Mohd S.N.H, 2012).
Sektor pelancongan juga membuka peluang pekerjaan dan perniagaan. Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia, peningkatan jumlah kedatangan pelancong asing menyumbang kepada peningkatan penduduk dan juga pendapatan daripada 24.6 juta orang yang berpendapatan sebanyak RM 56.5 bilion ke 24.7 juta orang yang berpendapatan sebanyak RM 58.3 bilion. Malaysia turut diiktiraf sebagai negara kesembilan yang paling tinggi dilawati di dunia oleh World Tourism Organization (UNWTO). Malaysia adalah negara yang mempunyai kedudukan yang ke empat belas teratas yang maju dalam bidang pelancongannya.  
Industri pelancongan bukan sahaja menggalakkan penggiat industri mengembang luas perniagaan termasuk dalam sektor perkhidmatan yang menjana pendapatan dan aktiviti ekonomi negara, tetapi turut menjadi jambatan yang dapat menghubungkan antara rakyat dengan rakyat yang lain. Inisiatif yang diambil oleh kerajaan untuk merancakkan sektor pelancongan akan menggalakkan pengusaha dan penggiat industri pelancongan untuk terus mengembangkan perniagaan mereka seterusnya dapat menyumbang kepada peningkatan ekonomi negara (Hemdi M.A., 2012).

Pelancongan menyumbang dengan ketara kepada ekonomi dalam menjana pengeluaran negara, pendapatan penduduk dan pekerjaan. Analisis hubungan antara sektor menunjukkan pelancongan merupakan sektor utama dalam mewujudkan permintaan dan merangsang pengeluaran dalam sektor serta sektor ekonomi yang lain (Abdullah R., 2012).